Wednesday, October 19, 2011

Bosan dengan perniagaan internet?



Saya tertarik dengan artikel yang telah ditulis oleh sahabat saya, iaitu saudara Shamsuriyadi, yang bertajuk ‘apabila usahawan internet bosan dengan bisnes internet‘.

Dalam artikel itu, beliau telah senaraikan apakah langkah ataupun cara bagi memastikan usahawan internet terus bersemangat dan tidak berputus asa.

Berikut adalah tambahan daripada saya, iaitu sedikit tip bagaimana kita sebagai usahawan tidak mudah patah hati ataupun tidak mahu lagi melakukan apa yang kita lakukan sekarang:

1. Lakukan banyak perkara

Hal ini bertentangan dengan nasihat yang selalu kita dengar. Ya, fokus pada satu perkara sahaja adalah nasihat yang terbaik terutama bagi mereka yang baru ingin bermula. Tetapi apabila kita telah berada lama dalam bidang perniagaan, yang satu itu akan menjadi punca kita mula bosan.

Banyak perkara yang dimaksudkan adalah kita menambah produk, servis atau bidang perniagaan yang masih sama dalam bidang yang kita lakukan. Contohnya, kita berniaga pakaian, maka kita tambah lagi pelbagai produk pakaian yang berbeza.

2. Pelbagaikan bakat

Setiap orang perlu utamakan dan manfaatkan sekurang-kurangnya tiga bakat yang ada dalam dirinya. Setiap orang ada pelbagai kebolehan dan jika boleh, elakkan terhad kepada satu sahaja. Semakin banyak kita lakukan sesuatu yang menggunakan bakat kita, kita sukar untuk bosan.

Namun pastikan, kita tidak terlalu obses dengan bakat. Memang ia penting, tetapi apabila kita terlalu bergantung kepada bakat semata-mata, kita mudah menolak untuk melakukan sesuatu dengan alasan “saya tiada bakat.”

Dan perkara yang penting juga adalah, elakkan juga terlalu banyak. Bergantung kepada keupayaan dan masa masing-masing. Utamakan yang utama.

3. Teruskan belajar

Kita akan mula goyah apabila kita mula berhenti belajar. Dan kita akan mudah tertinggal jauh apabila kita mula menutup pintu ilmu. Belajar itu banyak caranya, malah tanpa perlu keluar dari rumah, iaitu melalui internet. Baca artikel, beli ebook, online course dan banyak lagi cara.

4. ‘Bersosial’

Manusia yang ‘sihat’ bukan sahaja perlu sihat dari aspek tubuh badan, tetapi juga mental, emosi dan sosial. Usahawan perlu bersosial sekurang-kurangnya sesama para usahawan. Elakkan diri bersendirian di hadapan komputer pada setiap hari. Luangkan sedikit masa untuk bertemu rakan usahawan atau menyertai apa-apa program berkaitan.

5. Tambah kenalan

Dengan teknologi media sosial pada zaman sekarang seperti Facebook, menambah kenalan tidak perlu lagi mengambil masa yang lama. Dengan hanya hujung jari, kita boleh menambah kenalan seberapa ramai yang kita mahu pada setiap hari.

Seboleh mungkin, jumpa kenalan-kenalan itu secara nyata dan bukan hanya melalui internet.

6. Lakukan sesuatu yang baru

Apabila perniagaan kita mula berjaya, mungkin kita boleh menambah sumber pendapatan yang lain pula. Namun awas, lakukan jika anda berupaya sahaja. Menambah saluran pendapatan yang lain bermaksud, kita tidak akan menghadap benda yang sama setiap hari.

Jika tidak mampu, mungkin boleh lakukan inovasi terhadap perniagaan agar anda tidak bosan menghadap bisnes yang sama saja bentuknya setiap hari.

Inovasi atau ‘evolusi’ adalah salah satu cara untuk kita elakkan kebosananan. Ia tidak semestinya besar atau memerlukan kos. Lakukan sesuatu yang baru walaupun kecil, agar pandangan dan semangat terhadap bisnes kita sentiasa juga baru.

7. Bersukan / beriadah

Bosan juga biasanya diakibatkan oleh badan yang letih, penat dan tidak cergas. Seperti mana nasihat kebanyakan, kita perlu beriadah sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, dan 20 minit pada setiap kali itu.

8. Bosan bermaksud banyak masa terluang

Luangkan satu minit untuk menjawab soalan ini: Adakah anda terlalu banyak masa terluang sehingga tidak tahu perlu buat apa, dan akhirnya mula kebosanan?

Jika ya, cepat-cepat ambil pen dan sehelai kertas untuk senaraikan apakah tugas penting yang perlu dilakukan. Dan senaraikan juga apakah tanggungjawab yang perlu digalas dalam hidup ini.

Saya yakin, setiap orang pasti ada sekurang-kurangnya satu tanggungjawab penting yang perlu disempurnakan. Jadi, manfaatkan masa yang ada sebaik-baiknya.

9. Majukan lagi bisnes

Apabila kita melakukan perniagaan dalam skala yang sama bertahun-tahun lamanya, itu adalah salah satu sebab kita mudah berasa bosan. Maka ada dua pilihan di sini iaitu kita lakukan perubahan (inovasi) ataupun kita majukan lagi bisnes.

Mungkin dengan perbesarkan lagi saiz perniagaan, sewa ruang pejabat jika sebelum ini hanya berbisnes dari rumah, bekerjasama dengan rakan-rakan lain dan sebagainya. Paling kurang, ubahsuai ruang kerja SOHO.

Apabila kita sentiasa naik setapak demi setapak, maka perasaan bosan amat sukar datang pada diri kita kerana kita melakukan sesuatu yang berbeza dalam setiap tempoh tertentu.

10. Membaca kisah menginspirasikan

Sentiasa baca kisah orang-orang yang telah berjaya. Baca juga buku-buku motivasi terutama yang ditulis sendiri oleh orang yang telah gagal tetapi bangkit kembali. Utamakan membaca kisah kejayaan orang yang tidak sama bidang dengan kita atau yang lebih berusia dengan kita untuk mengelakkan perasaan lemah semangat kerana rasa jauh tertinggal dan rasa cemburu berlebihan.

11. Perbaiki amalan seharian

Tidak dapat dinafikan, terkadang semangat kita mula ‘lusuh’ adalah kerana jiwa kita mula gelap dan hati sedikit demi sedikit dikuasai titik-titik hitam. Bagaimana dengan solat kita? Jika solat, adakah sudah betul caranya? Bagaimana pula sikap amarah kita seperti dengki, marah, menipu, riak, tamak dan sebagainya?

Amalkan solat tahajjud, baca Quran, sedekah dan zikir-zikir yang mudah diamalkan. Tidak perlu banyak. Sekurang-kurangnya kita sentiasa ‘connected’ dengan Tuhan kita, ALLAH subhanahu wa ta’ala.

Kredit: smartzul

No comments:

Post a Comment